Selepas melihat umat dibantai teruk oleh Zionis dan sekutunya kebelakangan ini, darah muda para belia Islam kini meronta-ronta bersemangat mahukan perubahan. Keazaman ini bukanlah sekadar omong-omongan kosong, tetapi mereka akan berani untuk membuktikan dengan kenyataan. Perubahan yang bertitik tolak daripada kesedaran bahawa umat ini sedang jauh ketinggalan akan menyaksikan ianya akan berlaku secara besar-besaran dan menyeluruh, bukan lagi ‘part-part’ atau sebahagian yang tertentu sahaja.
Para pemuda pemudi yang berizzah dengan Islam ini amat merindui fitrah asal mereka. Mereka kini telah kenal tujuan mereka diciptakan oleh Maha Pencipta Itu. Mereka tahu apa matlamat mereka dan mereka kini sedang berjihad (berusaha bersungguh-sungguh) untuk mencapainya. Mereka sudah bangkit dari zaman kegelapan mereka. Apa jua halangan dan mehnah yang ada di hadapan, mereka akan tempuhi dan harungi tanpa ada rasa gentar dan takut.
"Dunia mesti kembali kepada Islam !"
Begitulah antara teriakan yang membuak-buak dalam jiwa mereka yang kini sudah sedar setelah mendapat pencerahan baru.
Perubahan yang bertunjangkan kerana Allah dan Rasul ini mereka lakukan dalam diri mereka sendiri dahulu. Apa yang mereka lakukan adalah peningkatan iman dalam diri, kefahaman tuntutan Islam sebagai cara hidup, tegas dalam amal makruf nahi mungkar dan perlaksanaan tanggungjawab sebagai individu muslim.
Mereka yakin sukarnya masyarakat Muslim terbentuk jika mereka sendiri tidak mula membentuk diri mereka untuk menjadi sel-sel atau batu-bata kecil individu muslim yang berkualiti untuk menjadi asas kepada masyarakat itu.
Malah, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk dikongsi bersama. Mereka mula mengajak saudara-saudara mereka yang terdekat dan sahabat-sahabat di sekeliling untuk sedar tentang hakikat diri, realiti umat Islam kini dan berazam untuk terus mengerakkan semuanya itu untuk bangun daripada lamunan duniawi.
Susah atau senang? Berat atau ringan? Lama atau sekejap?
Soalan-soalan seperti itu sepatutnya tidak lagi menjadi tanda tanya dalam diri mereka pada ketika ini. Niat untuk berubah yang telah tertanam dalam hati itu akan dibuktikan dengan sebenar-benarnya melalui lisan dan perbuatan tingkah laku mereka.
Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa ke atas setiap mahluknya. Dia tahu apa dan bagaimana perubahan yang mahu pemuda pemudi Islam ini ingin lakukan. Penghijrahan yang bagaimana yang akan dilaksanakan? Adakah ia Maknawi? Makani? Hak atau batil? Tahu atau jahil?
Sungguh, dalam misi ini sudah tentu terdapat pelbagai halangan yang perlu ditempuhi. Halangan daripada yang nyata atau ghaib, syaitan atau manusia. Si Syaitan nirajjim ini akan berusaha untuk menggoda, melalaikan malah menyesatkan manusia sesuai dengan tabiatnya. Malah mereka tahu siapa yang lemah, lagi-lagi insan yang baru sahaja berusaha untuk berhijrah daripada zaman jahiliyahnya.
Kekuatan yang Allah swt berikan begitu mudah untuk dihayati – bergantunglah kepada Allah. Mohonlah kekuatan daripadaNya. Berdoalah kepadaNya. Moga-moga hidayah Allah itu bersinar terus menerus ke dalam diri itu.
Ingat!
Apabila bangun pagi-pagi, cuba tanya kawan sebelah, tak pun tanya diri sendiri…
“Islam dah memerintah dunia ke?” “Islam dah menang ke?” “Israel dah kalah ke?”
Kalau belum, cepat-cepatlah bangun !!! TERUS BEKERJA !!!!!
1 comment:
'Soalan-soalan seperti itu sepatutnya tidak lagi menjadi tanda tanya dalam diri mereka pada ketika ini. Niat untuk berubah yang telah tertanam dalam hati itu akan dibuktikan dengan sebenar-benarnya melalui lisan dan perbuatan tingkah laku mereka.'
terasa ngan kata2 ni. sebab sering tertanya2 smpai bila semangat masih membara ini akan trus kekal. smpai bila diri ni mmpu utk menahan diri dari karat2 jahiliyyah itu. YA ALLAH..permudahkn kami. rindu suasana itu~
Post a Comment