Boycott Israel !

"It's better to light a candle, than to curse the darkness"

Saturday, October 4

Sebelum berpuasa 6 di Syawal, check semula puasa anda yang lepas...

SETIAP PEKERJAAN MEMPUNYAI TUJUAN

Dalam setiap pekerjaan pada dasarnya ada dua faktor: yang pertama adalah tujuan pekerjaan itu sendiri dan yang kedua ialah bentuk khusus dari pekerjaan tersebut yang dipilih untuk mencapai tujuan tersebut.

Sebagai contoh, marilah kita ambil pekerjaan makan. Tujuan anda memakan makanan adalah untuk menjaga agar anda tetap hidup dan mempunyai tenaga untuk bekerja. Cara yang anda pilih untuk mencapai tujuan tersebut adalah dengan mengambil sepotong daging, memasukannya ke dalam mulut, mengunyah-ngunyahnya dan menelannya masuk ke dalam kerongkong anda. Cara ini anda lakukan kerana ia adalah cara yang paling efektif dan tepat untuk mencapai tujuan anda.

Tetapi anda tahu bahawa hal yang paling penting adalah tujuan untuk apa makanan itu dimakan, dan bukannya bentuk serta kaedah pekerjaan itu. Apa yang anda akan katakan apabila ada orang yang membuat daging tiruan daripada serbuk gergaji atau abu atau tanah liat, lalu memasukkannya ke dalam mulut, mengunyahnya dan menelannya? Anda tentu akan mengatakan bahawa orang itu sudah gila. Mengapa?

Kerana orang seperti ini tidak mengerti tujuan yang sebenarnya dari makan, dan mengira yang dinamakan makan hanyalah semata-mata mengambil sesuatu dengan tangan, memasukkannya ke dalam mulut, mengunyahnya dan menelannya.

Jadi sama halnya, anda juga akan mengatakan pelik bila ada orang yang setelah menelan makanannya lalu memuntahkannya kembali dengan mengorek-ngorekkan jarinya ke dalam mulutnya, kemudian mengeluh bahawa ia tidak memperolehi manfaat daripada makanannya itu, tetapi sebaliknya pula setiap hari dia jadi semakin lama semakin kurus kering seperti orang kurang makan. Orang seperti ini menyalahkan makanan pula atas kesalahan yang diperbuatnya sendiri. Ia mengira bahawa tenaga hidup dapat diperolehi dengan hanya memenuhi persyaratan-persyaratan yang tercakup dalam perbuatan makan. Kerananya, ia berfikir, "mengapa saya harus menyimpan makanan dalam perut saya? Mengapa saya tidak memuntahkannya sahaja agar perut saya menjadi ringan? Saya kan sudah memenuhi persyaratan-persyaratan makan".

Begitulah fikirnya. Tentu sahaja ia harus menderita sendiri akibat cara berfikir dan tindakannya yang tidak masuk akal itu. Dia mesti mengetahui bahawa sebelum makanan yang dimakannya tercerna dalam perut dan sarinya terserap dalam darahnya dan disampaikan ke seluruh bahagian tubuh, maka tenaga hidup tidak akan boleh diperolehi. Walaupun pekerjaan-pekerjaan luar juga perlu, kerana tanpa tindakan-tindakan tersebut makanan tidak akan boleh sampai ke dalam perut, namun tujuan makanan tidak dapat dicapai dengan hanya semata-mata melakukan pekerjaan-pekerjaan luar sahaja.

Pekerjaan-pekerjaan luar itu tidak boleh menimbulkan keajaiban bahawa hanya dengan melaksanakannya sahaja maka darah akan langsung boleh mengalir cepat dalam pembuluh-pembuluhnya. Darah hanya dapat dihasilkan sesuai dengan hukum yang telah digariskan Allah. Apabila anda melanggar hokum tersebut, anda hanya akan membunuh diri anda sahaja.

AKIBAT MENGANGGAP FAKTOR-FAKTOR LUARAN SEBAGAI HAKIKAT AMAL

Apabila anda renungkan contoh yang disebutkan di atas tadi, anda akan mengerti mengapa "ibadat" yang anda lakukan sekarang ini tidak mendatangkan hasil apa-apa. Kesalahan yang terbesar dalam mengerjakan "ibadat" adalah menganggap tindakan solat dan puasa dalam bentuk luarnya sebagai "ibadat" yang sebenarnya, hingga anda terkena ilusi bahawa siapa sahaja yang memenuhi persyaratan-persyaratan tersebut bererti telah melaksanakan ibadat kepada Allah.

Anda sama seperti orang yang mengira bahawa pelaksanaan keempat perbuatan, yakni membuat makanan, memasukkannya ke dalam mulut, mengunyahnya dan menelannya adalah yang dinamakan proses makan, dan siapa sahaja yang mengerjakan keempat-empat perbuatan ini bererti telah memakan makanan dan kerananya dia berhak memperolehi manfaat dari makan, tidak peduli apakah yang dimasaknya itu beras atau tanah, atau apakah ia memuntahkan kembali makanannya itu atau tidak.

Kalau anda mempunyai fikiran sedikit sahaja maka katakanlah bagaimana boleh terjadi bahawa seseorang yang berpuasa, yang sedang melaksanakan "ibadat" kepada Allah dari pagi sampai petang, di tengah-tengah 'ibadatnya itu ia berbuat dusta dan membicarakan atau mengumpat kejelekan orang lain?

Mengapa ia bertengkar kerana soal kecil sahaja dan mengeluarkan kata-kata yang kotor dari mulutnya?

Mengapa masih berkepit tangan lelaki dan perempuannya yang masih belum sah ikatannya itu?

Mengapa masih menonton video movie yang dalamnya terkandung aksi-aksi yang tidak patut ditonton oleh seorang muslim?

Malah mengapa masih tidak cukup solat lima waktunya?

Dan setelah melakukan semua itu, ia masih mengira bahawa ia telah melakukan "ibadat" kepada Allah?

Tidakkah ini sama dengan orang yang memakan tanah liat atau abu dan mengira bahawa hanya dengan mengerjakan pekerjaan-pekerjaan luar sahaja bererti ia sudah makan?

BEBAS KEMBALI DARI IKATAN-IKATAN SETELAH RAMADHAN

Selanjutnya katakanla, bagaimana boleh terjadi bahawa setelah anda dibebaskan dari "ibadat" kepada Allah selama bulan Ramadhan, semua pengaruh dari latihan kesalehan ini hilang begitu sahaja apabila bulan Ramadhan selesai?

Setelah Hari raya Aidil Fitri tiba, anda melakukan pekerjaan-pekerjaan seperti yang dilakukan oleh orang-orang agama lain dalam perayaan-perayaan mereka.

Majlis tari menari yang menghiasi hari raya? Pergaulan tak terbatas lelaki dan perempuan? Pembaziran makanan? Kelalaian menunaikan solat waktu kerana terlalu sibuk memeriahkan hari raya… Astagfirullah…

Setelah bulan Ramadhan berakhir, berapa banyak di antara kita yang tetap memelihra kesan kesalehan dan kebajikan bulan puasa pada hari kedua ‘Aidil Fitri? Hukum Tuhan yang mana yang tidak dilanggar? Berapa bahagian dari waktu anda yang anda pergunakan untuk kebaikan, dan sejauh mana egoisme anda berkurangan?

AKIBAT KELIRU TENTANG "IBADAT"

Fikir dan renungkanlah kenapa semua itu boleh terjadi? Saya yakinkan anda bahawa satu-satunya sebab dari semua itu adalah kerana makna ibadat telah berubah dalam fikiran anda.

Kerana anda mengira bahawa ibadat itu hanya menahan makan dan minum di siang hari selama bulan puasa, maka anda mentaati peraturan puasa itu dengan sangat cermat. Anda takut kepada Allah sehingga anda menghindari setiap hal yang boleh membatalkan puasa, bahkan anda berani mempertaruhkan nyawa demi. puasa anda.

Tetapi anda tidak tahu bahawa dengan hanya semata-mata menahan lapar dan minum bukanlah "ibadat" yang sebenarnya, melainkan hanya salah satu bentuk daripadanya sahaja. Dan tujuan ditetapkannya bentuk ibadat seperti ini adalah untuk menumbuhkan dalam diri anda rasa takut dan cinta kepada Allah, dan dengan itu mengembangkan dalam diri anda kekuatan yang besar, sehingga dengan menekan hawa nafsu anda, anda akan mampu menghindari hal-hal yang nampaknya menguntungkan tetapi yang sebenarnya tidak diredhai Allah.

Di lain pihak, dengan menguasai diri anda, anda akan mampu membuatkan diri anda menyenangi hal-hal yang mungkin membawa risiko dan kerugian tetapi jelas mendatangkan keredhaan Allah. Kekuatan ini hanya boleh dikembangkan kalau anda mengerti tujuan puasa, dan menggunakan latihan yang anda jalani dalam berpuasa itu untuk mengendalikan dorongan-dorongan jasadi kerana takut dan cinta kepada Allah, dan membuatkan dorongan-dorongan tersebut bekerja sesuai dengan aturan-aturan yang telah ditetapkan Allah.

Tetapi dalam perlaksanaannya, begitu bulan Ramadhan berlalu, anda buang semua hasil-hasil latihan anda itu, seperti orang yang setelah makan lalu memuntahkan makanannya dengan mengorek-ngorekkan jarinya ke dalam mulutnya.

Bahkan dalam kenyataannya, sebahagian di antara anda memuntahkan kebajikan-kebajikan yang anda perolehi pada siang hari sebaik sahaja malam tiba. Nah, anda fikirkanlah sendiri, apakah puasa dan bulan Ramadhan itu boleh mendatangkan keajaiban, sehingga hanya dengan mengerjakan pekerjaan-pekerjaan luaran sahaja, anda dapat memperolehi kekuatan yang hanya boleh diperolehi dengan jalan berpuasa menurut cara yang ditetapkan?

Sebagaimana halnya enersia fizik hanya boleh diperolehi dari makanan setelah makanan tercerna dalam perut dan dibawa oleh darah kepada seluruh urat-urat tubuh; maka demikian pula kekuatan rohani hanya boleh diperolehi dari puasa bila orang yang berpuasa itu mengerti tujuan puasa, dan meresapkan pengertian itu ke dalam hati dan fikirannya, dan membiarkannya menguasai fikiran, motif, niat, dan perbuatannya.

PUASA: SARANAN UNTUK MENUJU TAQWA

Kerana itulah, setelah memerintahkan puasa, Allah mengatakan:

...Ia'allakum tattaqun.
"...agar kamu bertaqwa". (al-Baqarah, 2:183)

Ertinya, puasa diwajibkan kepada anda, dengan harapan mudah-mudahan anda boleh menjadi orang yang saleh dan bertaqwa. Di sini tidak dikatakan bahawa dengan berpuasa anda pasti menjadi orang yang saleh dan bertaqwa, kerana hasil puasa itu sendiri ter-gantung pada pengertian dan niat orang yang bersangkutan.

Barangsiapa yang memahami tujuan itu, dan dengan pemahaman tersebut cuba mencapai tujuan puasa, akan menjadi orang yang saleh dan taqwa. Tetapi, orang yang tidak memahami tujuan puasa itu dan tidak cuba untuk mencapainya, jangan diharap akan boleh memperolehi sesuatu dari puasanya.

**Akhir kata, Selamat Berpuasa 6 di bulan Syawal !


Afiqawe
5 Syawal 1429
Moscow

2 comments:

Anonymous said...

menarik..
perumpamaan yg menarik~

Anonymous said...

ehm satu artikel yg sgt2 memberi manfaat kpd semua....mekasih ea we....jzkk...